Showing posts with label agrobiz. Show all posts
Showing posts with label agrobiz. Show all posts

Sunday, December 25, 2011

TIMUN

Pengenalan:
Timun boleh ditanam di ladang ataupun di sekeliling rumah.  Pokoknya tidak memerlukan ruang yang luas kerana ia adalah sejenis sayuran yang menjalar, yang perlu hanyalah cacakan kayu atau pagar-pagar tegap supaya pokok dapat memanjat.  Timun tidak memerlukan perhatian yang rapi seperti pokok-pokok lain.
Sebagai ulam timun mengandungi Vitamin A dan kelebihan zat ini tidak dapat ditandingi dengan sayur-sayuran lain seperti kacang bendi dan labu.  Timun mengandungi Vitamin A yang setanding dengan cili hidup iaitu lebih kurang 130 IU/Ox (4.6 IU/gm).

Kesusuaian Tanah:
Tanah yang sesuai untuk tanaman timun ialah tanah yang gembur, mengandungi cukup bahan-bahan organan, mempunyai saliran yang baik dan berkeupayaan memegang air.  Pokok timun memerlukan hawa panas tetapi tidak terlalu terik, kerana kalau terik ia memerlukan lebih baja dan air.  Jika penanaman dimulakan di pertengahan musim kemarau, pokok menjadi kerdil, kerana kekurangan air di dalam tanah untuk pokok menghisap.  Sebaik-baiknya penanaman dimulakan di akhir musim hujan di mana udara lebih sejuk disamping suhunya menggalakkan benih timun bercambah dengan cepat.
Tanah digembur dengan cangkul atau ditenggala dengan trektor.  Buat batas berukuran 1.2 m lebar x 7.6m panjang dan 23-26 cm tinggi.  Bubuh baja organan (tahi lembu atau tahi ayam yang reput dan bakaran sampah sarap) di setiap lubang tanaman atau di dalam parit kecil yang dibuat di kedua belah batas.  Banyak baja bergantung kepada kesuburan tanah (11.5 kg/batas atau 12.6 tan metrik/ha).

Penanaman:
Benih timun boleh ditanam terus atau dicambahkan dan diubah ke ladang.  Jarak tanaman yang disyorkan ialah 60 cm x 60 cm (2' x 2').  Dua barisan tanaman timun boleh ditanam atas tiap-tiap batas.  Benih timun ditanam terus ke lubang dengan kadar 2-3 biji benih selubang.  Siram dua kali sehari.  Percambahan akan berlaku selepas 3-4 hari.  Selepas 10 hari anak pokok yang kurang subur dibuang dengan meninggalkan 1-2 pokok di satu tempat.
Benih timun boleh juga dicambahkan di dalam kain bersih yang basah, dan seterusnya tiga anak semaian diatur di dalam 'kerek'.  Anak-anak semaian di dalam 'kerek' diubah ke ladang selepas 4-6 hari.  Pilih anak semaian yang subur sahaja untuk diubah.  Pembajakan berikut boleh digunakan:-
14 bahagian Sulphate of Ammonia
11 bahagian Double Superphosphate
5 bahagian  Muriate of Potash
11 bahagian Kieserite

atau gunakan baja sebatian NPK Hijau (15:15:15).  Baja dua minggu sekali sebanyak 14_28 gm sepokok/sekali, iaitu bila anak semaian berumur 10-12 hari.  Tabur keliling pokok atau ke dalam parit kecil yang dibuat di kiri kanan barisan anak-anak timun. Pokok timun memerlukan sokongan sebaik-baik sahaja ia mengeluarkan jari-jari, iaitu apabila anak pokok berumur 14-16 hari. 
Pokok timun perlu disiram sekurang-kurang sekali sehari sehinggalah hasilnya dipungut.  Dalam musim hujan pokok-pokok timun tidak sepatut disiram terlalu kerap.  Merumput patut dilakukan supaya tidak ada persaingan untuk zat makanan antara rumput dengan pokok timun dan untuk mengelakkan pembiakan musuh dan penyakit.  Merumput dilakukan dengan tangan atau dengan cangkul.
Membuat Junjung / Penyokong:Pokok timun bertabiat menjalar dan memerlukan junjung / penyokong untuk memanjat.  Kayu junjung/penyokong yang dibuat daripada kayu hutan, buah dan lain-lain sistem para.  Sistem trellis yang menggunakan tiang-tiang kayu, para-para dawai dan tali rafia tahan lama tetapi kos adalah lebih tinggi.

Tuesday, August 16, 2011

Cara sesuai tanam bayam

TERDAPAT beberapa jenis bayam di negara kita. Antaranya ialah bayam hijau (Amaranthus spp.), bayam merah (Amaranthus gangeticus) dan bayam tricolor (Amaranthus tricolor). Semua bayam ini tergolong dalam keluarga Amaranthaceae dan berasal dari Amerika.
Bayam spinach (Spinacia oleraceae) pula mengandungi gen,fizikal dan rasa yang berbeza walaupun berasal dari keluarga yang sama.
Bayam spinach tidak sesuai ditanam di negara beriklim tropika seperti Malaysia kerana ia cepat berbunga dan tidak banyak daun.
Bayam kaya dengan vitamin A, C dan E, fosforus, zat besi, kalium, magnesium, beta karoten dan zink.
Selain itu, bayam juga merupakan sumber baik asid berlemak omega 3, niasin dan selenium.
Bayam juga dipercayai memberi khasiat kepada kanak-kanak, ibu yang menyusu dan pesakit yang mengidap demam panas, kurang darah, mengalami pendarahan dan mereka yang menghadapi masalah ginjal.
Bayam tua yang direbus dan diminum dapat membaiki kualiti penglihatan dan memperkuatkan fungsi hati.
Penanaman
*Bayam sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah terutama tanah gembur liat ringan dan tanah liat berpasir. Tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik dan mempunyai pH di antara 5.5 dan 6.5 adalah yang paling sesuai.
*Sediakan batas berukuran satu meter (lebar) dan panjang bergantung pada kawasan.
Tanah digembur bersama kompos dan bahan organik. Sebanyak empat alur boleh dibuat dengan jarak tanaman 20 sentimeter (sm) antara alur.
*Bayam ditanam terus menggunakan biji benih. Disebabkan biji benih terlalu kecil, gaulkan biji benih dengan pasir untuk menjarakkan biji benih semasa menabur benih di dalam alur batas.
*Tutup batas yang terdedah dengan jerami padi atau daun kering sebagai sungkupan untuk kekalkan kelembapan tanah dan mengawal rumpai.
*Selepas tiga atau empat hari, benih akan bercambah dan anak pokok akan mula kelihatan.
Penjarangan
*Penjarangan perlu dibuat selepas seminggu biji benih bercambah. Anak benih yang tumbuh terlalu rapat perlu dibuang atau dipindahkan ke alur yang tiada anak benih.
nAktiviti perlu dilakukan dengan hati-hati untuk mengelakkan kecederaan akar anak benih yang terlalu lembut.
*Penjarangan penting bagi mengurangkan persaingan mendapatkan cahaya matahari dan nutrien antara pokok. Jika anak pokok terlalu banyak, pokok yang tumbuh akan bersaiz kecil dan kurang daun.

Pengairan
*Bayam perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan dengan air bersih tanpa klorin.
*Pengairan boleh dilakukan dengan dua cara iaitu siram manual atau dengan sistem pengairan renjis bergantung kepada kemampuan petani.
Pembajaan
*Pembajaan menggunakan baja organik (yang dibeli atau buatan sendiri). Baja organik berproses diberi mengikut kadar yang disyorkan, biasanya antara 30g dan 50g sepokok dan ditabur pada minggu kedua selepas menanam.
Jika baja organik buatan sendiri, baja boleh disembur seminggu sekali.
*Sebelum membaja rumpai yang tumbuh dibuang terlebih dahulu dan tanah digembur.
*Baja organik boleh ditabur di antara alur tanaman.
Kawalan rumpai
*Rumpai adalah musuh utama tanaman. Ia akan bersaing untuk mendapatkan ruang, cahaya matahari dan juga makanan. Selain itu, rumpai boleh menjadi perumah kepada serangga perosak.
*Rumpai perlu dikawal setiap seminggu sekali. Jangan biarkan rumpai hingga ia berbunga.
*Ia boleh dilakukan sama ada merumpai secara manual atau menggunakan mesin pemotong rumput.
Kawalan perosak dan penyakit
*Ulat ratus sering memakan daun muda bayam. Amalkan menyembur racun organik daripada campuran cili padi, bawang putih, daun naem, daun kesum, serai wangi, kemangi, air dan sabun. Sembur setiap hari bagi serangan kritikal, dan dua atau tiga hari sekali bagi serangan biasa.
*Penyakit hawar melecuh pula sering ditemui pada bayam jenis berdaun bulat, tetapi bayam berdaun bujur lebih toleran dengan penyakit ini. Amalkan tanaman bergilir sebagai kawalan.