Tuesday, April 5, 2011

April Fool!

Monday, April 4, 2011

12 murid SK Mawai dicabul dua warga asing

KOTA TINGGI 4 April - Seramai 12 murid perempuan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai di Kampung Mawai Baru di sini dikatakan menjadi mangsa cabul dua warga asing yang mengendalikan sebuah kedai runcit bertentangan dengan sekolah itu.


Kejadian yang menimpa murid Tahun 5 dan 6 itu terbongkar apabila salah seorang mangsa mengadu kepada gurunya mengenai kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, guru itu kemudian mengumpulkan semua murid perempuan Tahun 5 dan 6 di sekolah itu untuk mendapatkan maklumat mengenai mangsa-mangsa lain yang pernah dicabul.

"Siasatan awal mendapati, seramai 12 murid mendakwa pernah dicabul oleh dua pekedai itu sejak Oktober tahun lalu ketika mereka datang ke kedai itu untuk membeli makanan ringan selepas tamat sesi persekolahan dan kelas tambahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, di sini hari ini.

Menurutnya, polis telah merakamkan percakapan kesemua mangsa dan mendapati, kejadian terakhir berlaku pada 15 Mac lalu.

Susulan daripada itu, dua lelaki warga asing berusia 21 dan 27 tahun dari India dan Pakistan ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, kedai itu dipercayai milik penduduk tempatan namun ia telah disewakan kepada dua suspek sejak tahun 2007.

Sumber:Utusan

Pesawat PBB terhempas, 20 maut

05/04/2011 3:40am


KINSHASA, 5 April – Sebuah pesawat milik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhempas ketika cuba melakukan pendaratan di lapangan terbang di ibu negara Congo, Kinshasa hari ini dan menyebabkan sekurang-kurangnya 20 terbunuh, kata pihak berkuasa.

Menurut pegawai Kementerian kesihatan Congo, Joseph Kiboko berkata, pesawat tersebut dipercayai hilang kawalan akibat angin kencang ketika melakukan pendaratan.

Kiboko memberitahu Reuters sekurang-kurangnya 20 hingga 29 penumpang termasuk tiga anak kapal terkorban dalam nahas itu. – Reuters

Sunday, April 3, 2011

Murid meninggal dipukul guru asrama

ALOR SETAR 3 April — Murid yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.


Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 pagi tadi sejak dimasukkan ke hospital berkenaan Jumaat lepas.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang ini.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam pada hari kejadian apabila seorang guru lelaki yang berumur 26 tahun dikatakan telah memukul kanak-kanak tersebut selama hampir dua jam sehingga dia pengsan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt. Nashir Ya berkata, suspek yang juga Penyelia Asrama sekolah berkenaan telah ditahan pada pukul 10 malam tadi.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat dan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Ibu angkat mangsa, Hazirah Chin, 38, berkata sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, anak angkatnya yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada pukul 1.40 pagi Jumaat.

"Saya dapat panggilan daripada seorang ustaz. Dia tanya sama ada Saiful ada penyakit tarik (sawan). Saya kata tak ada. Lepas tu dia kata dia nak datang ambil saya ke hospital sebab Saiful masuk hospital dan kena pindah ke hospital di Alor Setar," katanya di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah.

Hazirah berkata, dia dapat melihat kesan melecet pada pergelangan tangan mangsa selain kesan lebam di bahagian matanya.

Saya diberitahu Saiful alami pendarahan di bahagian kepala. Pada mulanya doktor kata dia stabil tapi semalam (Sabtu) doktor beritahu dia sudah tak ada harapan untuk hidup," katanya.

"Ketika mula-mula masuk asrama, arwah gembira sangat-sangat. Dia kerap balik sebab sekolah tak sampai satu kilometer dari rumah kami," tambahnya.
Bapa kandung mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata, anaknya dipelihara oleh keluarga angkat selepas isterinya meninggal dunia ketika Saiful Syazani baru berusia tiga tahun.

"Kali terakhir saya bertemu anak saya setahun lalu, sebab saya tinggal di Langkawi dan baru berpindah ke Jitra sebulan lalu," katanya.

Saiful Sopfidee berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada pukul 8 pagi pada hari Jumaat bahawa Saiful Syazani dimasukkan ke hospital kerana dipukul orang.

Selepas melihat keadaan anaknya akibat dipukul, Saiful Sopfidee telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang Jumaat. - BERNAMA

Wanita dirempuh lori tangki

KOTA BHARU 3 April – Seorang penyelia wanita terselamat dalam nahas ngeri apabila kereta Mercedes-Benz E280 yang dipandunya remuk teruk selepas dirempuh sebuah lori tangki di Jambatan Kubang Kacang, Tiong, dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi, Shahrizal Sulaiman, 29, dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di sini.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa telah memperlahankan kenderaannya selepas melihat sebuah treler berhenti secara tiba-tiba di atas jambatan berkenaan.
Bagaimanapun, sebuah lori tangki yang mengekori di belakang kenderaannya dikatakan tidak sempat menekan brek lalu merempuh kereta mangsa menyebabkan ia remuk teruk.
Berikutan kejadian itu, mangsa tersepit dalam kenderaannya sebelum dikeluarkan oleh orang kampung yang kemudiannya menghubungi ambulans dan bomba untuk bantuan.
Baa mangsa, Sulaiman Ibrahim, 59, berkata, sebaik sahaja mendapat panggilan daripada anaknya, dia bergegas ke tempat kejadian.
“Saya tergamam apabila melihat keadaan kereta yang dipandu anak saya remuk teruk. Pada masa itu yang ada dalam fikiran saya dia mungkin sudah meninggal dunia.
“Namun penduduk kampung memberitahu anak saya selamat dan hanya cedera di bahagian tangan. Saya tak tahu nak kata apa kecuali bersyukur kerana anak saya terselamat,” katanya.

Sumber:Utusan

Amy Search dipilih Pengetua AF9

KUALA LUMPUR 2 April – Teka-teki mengenai Pengetua Akademi Fantasia 9 (AF9) terjawab apabila Astro Ria mengumumkan Amy Search dipilih sebagai penyandang jawatan tertinggi dalam program realiti TV popular itu hari ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, pemilihan Amy Search atau nama penuhnya Suhaimi Abdul Rahman, 53, dilakukan berdasarkan maklum balas daripada banyak pihak selain pengalaman luas beliau dalam bidang nyanyian dan muzik tanah air.

Pengumuman tersebut dilakukan di Aeon, Jusco, Wangsa Maju  di sini malam ini, sempena program Tirai AF9. Astro sebelum ini merahsiakan penyandang jawatan tersebut biarpun khabar angin bertiup kencang mengatakan Ahmad Dhani iaitu gitaris dan vokalis kumpulan Dewa dari Indonesia bakal mengisi jawatan tersebut.

sumber: utusan


Bank Rakyat tambah modal RM1b

KUALA LUMPUR 2 April - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) dibenarkan menaikkan modal berbayarnya sebanyak RM1 bilion lagi, sekali gus memberikan khabar gembira kepada lebih 800,000 ahlinya yang lama menunggu untuk menambah pelaburan mereka.
Bank koperasi Islam itu, pada bulan lepas memperoleh kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan modal berbayar kepada RM3 bilion, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, dengan kebenaran itu, Bank Rakyat akan membuka peluang pelaburan kepada orang ramai terutamanya ahli untuk membeli saham pegangan dalam bank berkenaan mulai bulan depan.
''Peluang pelaburan ini bukan diberikan kepada semua orang tetapi sebaliknya diutamakan kepada koperasi-koperasi dan ahli-ahli setia Bank Rakyat,'' katanya selepas Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Bank Rakyat, bank koperasi terbesar di Malaysia, akan menaikkan modal berbayarnya dan pengumuman akan dibuat pada mesyuarat itu hari ini.

Peluang untuk menambah pelaburan dinanti-nantikan oleh ahlinya berikutan kejayaan bank koperasi itu membayar dividen secara konsisten sebanyak 15 peratus sejak 1999.

Mengulas pertanyaan pemberita, Ismail Sabri juga berkata, struktur jumlah pelaburan yang boleh ditambah oleh ahli bank tersebut sedang ditentukan.

Katanya, ahli-ahli baharu turut berpeluang membuat pelaburan itu tetapi terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan ia akan dibincangkan kemudian. Ditanya tentang senarai menunggu mereka yang ingin membeli saham bank itu, Ismail Sabri berkata, setakat ini, nilai senarai menunggu bagi pembelian saham Bank Rakyat melebihi RM1 bilion.
Beliau berkata, sejumlah 40 peratus daripadanya merupakan bukan ahli dan majoritinya terdiri daripada ahli lama.

''Kami tidak akan dapat memenuhi sepenuhnya permohonan mereka, tetapi sebaliknya akan memberikan sedikit bahagian untuk mereka,'' kata Ismail Sabri lagi.
Sementara itu, Syed Jalaludin dalam ucapannya berkata, Bank Rakyat dijangka mencatatkan keuntungan sebelum cukai melebihi RM2 bilion pada tahun ini berbanding RM1.72 bilion


sumber: utusan