Showing posts with label Hiburan. Show all posts
Showing posts with label Hiburan. Show all posts

Sunday, April 3, 2011

Amy Search dipilih Pengetua AF9

KUALA LUMPUR 2 April – Teka-teki mengenai Pengetua Akademi Fantasia 9 (AF9) terjawab apabila Astro Ria mengumumkan Amy Search dipilih sebagai penyandang jawatan tertinggi dalam program realiti TV popular itu hari ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, pemilihan Amy Search atau nama penuhnya Suhaimi Abdul Rahman, 53, dilakukan berdasarkan maklum balas daripada banyak pihak selain pengalaman luas beliau dalam bidang nyanyian dan muzik tanah air.

Pengumuman tersebut dilakukan di Aeon, Jusco, Wangsa Maju  di sini malam ini, sempena program Tirai AF9. Astro sebelum ini merahsiakan penyandang jawatan tersebut biarpun khabar angin bertiup kencang mengatakan Ahmad Dhani iaitu gitaris dan vokalis kumpulan Dewa dari Indonesia bakal mengisi jawatan tersebut.

sumber: utusan


Tuesday, October 13, 2009

Anuar Zain paling eksklusif


Tiket Eksklusif Syawal bersama penyanyi itu laris walaupun lebih mahal daripada Beyonce Knowles


ANDAI melihat nilai harga tiket yang dikenakan untuk menyaksikan persembahan Eksklusif Syawal bersama Anuar Zain yang berlangsung di Golden Chersonese Mediahall, Maju Junction, baru-baru ini, tentu ramai yang terkejut kerana harga yang dikenakan boleh dikatakan setaraf dengan harga tiket untuk menyaksikan konsert artis bertaraf antarabangsa.Bayangkan, untuk menyaksikan pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini beraksi, tetamu perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM800 (VIP), RM700 (Premier) dan RM600 (Eksekutif).


Malah, harga tiket ini jauh lebih tinggi dari nilai harga tiket konsert penyanyi Beyonce di mana untuk harga VIP, jumlahnya hanyalah sebanyak RM583. Dan apa yang membanggakan, tiket yang hanya terhad kepada 300 tetamu itu habis dijual. Siapa sangka di saat ekonomi yang tidak menentu ketika ini, masih ada peminat yang sanggup mengangkat martabat artis tempatan setaraf penyanyi luar negara. Bukan calang-calang peminat yang sanggup mengeluarkan belanja sebulan gaji hanya untuk menyaksikan artis kesayangannya menyanyi dan Anuar nyata cukup bertuah kerana mempunyai peminat yang sanggup berbuat apa saja kerananya. Bersesuaian dengan nama acara yang dijayakannya itu, tidak keterlaluan andai dikatakan Anuar antara penyanyi yang cukup eksklusif dan termahal apabila mengambil risiko mengenakan harga tiket sebanyak itu. Bagaimanapun perkara ini disangkal Anuar sambil menyatakan dia juga terkejut apabila mendapat tahu harga tiketnya mencecah hampir RM1000.


Apabila pihak penganjur memberitahu saya harga tiket yang dikenakan sebanyak RM800, saya sendiri terkejut kerana perancangan awalnya, harga yang diletakkan adalah RM400. Saya bimbang majlis ini tidak mendapat sambutan memandangkan harga yang dikenakannya cukup mahal. Iyalah, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, siapa yang sanggup mengeluarkan belanja sebanyak itu. “Tapi, apabila dimaklumkan yang semua tiket habis dijual, saya bersyukur sangat-sangat kerana ia masih mendapat sambutan,” ujar Anuar dalam nada teruja. Kata Anuar, dalam hal ini, dia tidak melihat dirinya sebagai artis paling eksklusif di Malaysia hanya kerana persembahannya yang mahal itu. Baginya sesiapapun artis itu dan jika dia mempunyai album, dia tetap eksklusif di mata peminatnya. Dan kata Anuar, dia beruntung kerana mempunyai peminat yang cukup setia kepadanya dan akan sentiasa menyaksikan persembahannya walau di mana jua dia berada.


Saya akui, sejak menghasilkan konsert solo di Istana Budaya ........ lalu, tiada tawaran lain yang saya terima. Tapi tak mengapa, saya faham, dalam keadaan sekarang ini, siapa yang berani nak keluarkan duit untuk menaja konsert saya. Mungkin mereka merasakan kurang berbaloi untuk menaja konsert saya menyebabkan sehingga kini tiada tawaran yang saya terima,” kata Anuar yang mempunyai keinginan untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Malaysia. Biarpun kelibat Anuar jarang kelihatan dan hanya muncul untuk acara tertentu namun itu tidak bermakna dia melupakan peminatnya yang berada di ceruk desa.


“Walaupun saya kerap membuat persembahan di bandar namun saya ada juga turun membuat persembahan di kampung. Sebelum ini saya terbabit dengan aktiviti Astro iaitu Gempak Desa dan pernah membuat persembahan di Kuantan, Pahang dan terbaru pada 17 Oktober ini, saya akan ke Kluang, Johor untuk bertemu peminat di sana. Saya akui seronok dapat bertemu dengan mereka dan memang menjadi impian saya sebelum ini untuk melawat kampung dan bermesra dengan peminat saya di sana,” ujar Anuar sambil mengukir senyuman.


- bERITA hARIAN




Friday, October 9, 2009

Nasha diarah bayar bapa kandung RM10,000


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan pelakon dan model, Nasha Aziz (atas), membayar ganti rugi am berjumlah RM10,000 kepada bapa kandungnya, Abdul Aziz Ali, 61, berhubung saman fitnah yang difailkan empat tahun lalu. Hakim Datuk Abdul Wahab Patail turut memerintahkan Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, 38, membayar kadar faedah lapan peratus bermula 31 Mac 2005 sehingga penyelesaian kes itu.

Bagaimanapun, Abdul Wahab menolak tuntutan lain termasuk ganti rugi tambahan yang dimohon Abdul Aziz kerana saman itu membabitkan isu kekeluargaan.Abdul Wahab dalam penghakimannya, berkata keputusan itu dibuat selepas Nasha dan peguamnya tidak hadir pada perbicaraan kes berkenaan, Rabu lalu. Bagaimanapun, Nasha yang popular menerusi filem Laila Isabella, hadir di mahkamah, semalam tanpa diwakili peguam, manakala bapanya ditemani keluarga dan diwakili peguam, M Visvanathan.

Abdul Aziz, seorang guru silat, mengemukakan saman terhadap Nasha berhubung artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 24 Oktober, 2004, yang mendakwa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya. Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Aziz berkata, beliau adalah bapa kandung Nasha dan mendakwa perkataan fitnah di dalam artikel itu menyebabkan perasaannya terseksa, memalukan dan mencemarkan maruahnya. Beliau memohon ganti rugi, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dengan mendakwa artikel itu boleh difahamkan sebagai bermaksud yang beliau sudah meninggal dunia.


Nasha dalam pernyataan pembelaannya menjelaskan perkataan bapa dalam temu bual dengan akhbar itu merujuk kepada bapa saudaranya, Abdul Aziz Hathim, yang membesarkannya. Pelakon itu tidak menafikan bahawa Abdul Aziz ialah bapa kandungnya, tetapi beliau menganggap bapa saudaranya sebagai bapa dalam hidupnya. Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, Abdul Aziz dapat membuktikan beliau difitnah Nasha menerusi artikel berkenaan yang menyatakan dirinya hanya mempunyai seorang ayah. Mahkamah menerima pernyataan tuntutan plaintif, iaitu disebabkan perkataan ayah itu, Abdul Aziz dikatakan berbohong berhubung Nasha adalah anak kandungnya sehingga menyebabkan beliau dipandang rendah, katanya. Nasha ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau menerima keputusan itu dan menjelaskan bahawa perkataan ayah dalam artikel berkenaan merujuk bapa saudaranya (Abdul Aziz Hathim) yang memeliharanya.



Thursday, October 8, 2009

Menghitung detik kehadiran Beyonce


SEJAK kehadirannya bersama bekas kumpulannya, Destiny's Child pada tahun 1997 nama Beyonce Knowles sudah mula mencuri perhatian ramai. Dia bukan sahaja berbakat tetapi juga memiliki paras rupa yang cukup eksotik lantas menjadikannya antara wanita berkulit hitam yang cukup jelita. Bersama dengan kumpulannya itu, Destiny's Child telah berupaya mencipta satu fenomena yang cukup luar biasa sekali gus menjadikan mereka penyanyi berkumpulan wanita yang paling berjaya selepas The Supremes.

Sepanjang bersama kumpulannya itu, mereka telah merakamkan empat buah album studio iaitu Destiny's Child (1998), The Writings On The Wall (1999), Survivor (2001) dan Destiny Fulfilled (2004). Menerusi album-album itu, sebanyak 19 buah single telah dihasilkan dan ada yang mencapai status nombor satu dalam carta lagu-lagu popular di Amerika Syarikat dan seantero dunia. Antara lagu-lagu popular dendangan mereka ialah Bills, Bills, Bills, Say My Name, Jumpin', Jumpin', Independent Woman Part 1, Survivor, Bootylicious, Emotion, Lose My Breath, Girl dan Cater 2 U.

Selain itu, mereka juga sempat merakamkan sebuah album Krismas berjudul 8 Days of Christmas, album remix (This Is The Remix) dan sebuah album kompilasi, (#1's). Kesemua penjualan album-album mereka itu berjaya mencecah lebih daripada 50 juta salinan di seluruh dunia dan Destiny's Child juga meraih 154 anugerah baik di negara mereka sendiri mahupun dunia. Namun, jodoh Beyonce dengan Destiny's Child tidak kekal lama apabila pada tahun 2006, mereka memutuskan mahu membawa haluan dalam mengembangkan lagi kerjaya serta muzik masing-masing.

Ada juga khabar angin yang bertiup kencang mengatakan semuanya adalah kerana populariti Beyonce yang melangkaui segala-galanya sehingga menenggelamkan dua anggota lain iaitu Michelle Williams dan Kelly Rowland. Namun, mereka menafikan perasaan cemburu mula menguliti diri mereka apabila Beyonce yang lebih menonjol dan mendapat perhatian lebih berbanding mereka. Begitu juga dengan Beyonce. Bukanlah dia tidak menyayangi kumpulannya itu tetapi tegasnya, dia mahu mengorak langkah sebagai penyanyi solo selain mencuba pelbagai cabang seni lain.

Buktinya, pada tahun 2003, album solo pertamanya Dangerously In Love telah mencipta kejayaan yang luar biasa apabila mencatatkan penjualan sebanyak 317,000 salinan pada minggu pertama sahaja. Memuatkan lagu-lagu popular seperti Crazy In Love, Baby Boy dan Dangerously In Love, album itu menyaksikan kecemerlangan Beyonce apabila memenangi lima anugerah Grammy pada tahun berikutnya. Hasilnya, album Dangerously In Love telah berjaya terjual sebanyak 4.2 juta salinan di Amerika Syarikat sahaja. Beyonce tidak hanya menyekat kreativitinya sebagai seorang penghibur dan pengkarya tetapi juga menyerlah sebagai seorang pelakon.

Filem-filemnya seperti Austin Powers in Goldmember, The Fighting Temptations, The Pink Panther, Dreamgirls, Cadillac Records dan Obsessed semuanya mendapat sambutan yang cukup hebat. Meneruskan perjuangannya sebagai seorang penyanyi, Beyonce atau nama sebenarnya, Beyonce Giselle Knowles muncul dengan dua album solo selepas Dangerously In Love. Dua album tersebut, B'Day dan I Am...Sasha Fierce membuktikan pengaruh Beyonce cukup kuat dan dianggap paling berjaya dalam generasinya. Biarpun dia sudah mendirikan rumah tangga dengan rapper terkenal, Jay-Z tetapi itu bukan satu halangan untuk Beyonce terus diminati dan disanjung tinggi. Tidak hanya mampu beraksi hebat di atas pentas, tetapi wanita berusia 28 tahun ini cukup bijak merencana kehidupannya.

Dia bersama ibunya, Tina memulakan perniagaan dengan menubuhkan label fesyen mereka sendiri, House of Dereon pada tahun 2005 yang mendapat perhatian dan sambutan hebat di kalangan peminat Beyonce. Profilnya sebagai anak seni dan juga ahli perniagaan telah menjadikan Beyonce sebagai salah seorang artis terkaya di Hollywood dengan pendapatan hampir RM350 juta sepanjang Jun 2008 hingga Jun 2009! Begitu juga dengan penangan konsert jelajah dunianya, I Am...World Tour yang dikatakan mampu menjana keuntungan berlipat ganda untuk Beyonce. Menyedari aura dan karisma yang dimiliki Beyonce di atas pentas, maka tidak mustahil apabila konsert sulungnya di negara ini, I Am...World Tour Live In Malaysia 2009 mampu memberikan impak yang luar biasa kelak.

Masakan tidak, pertama kali beraksi di Malaysia, pastinya peluang itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja oleh peminat setia Beyonce yang menantikan peluang ini sejak sekian lama. Bakal diadakan pada 25 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, ramai pihak yang beranggapan konsert Beyonce ini akan setaraf dengan konsert Michael Jackson pada tahun 1996. Khabarnya, tiket-tiket berharga RM93, RM183, RM283, RM383 dan RM583 kini cukup laris bagaikan pisang goreng panas. Potongan 10 peratus turut diberikan kepada pelanggan Hotlink dan Maxis bagi mereka yang membeli tiket berharga RM93, RM183 dan RM283.

Dengan melayari www.beyoncekltour.com.my, anda berpeluang memenangi 50 keping tiket bagi menyaksikan konsert yang ditunggu-tunggu itu menerusi pertandingan yang akan diadakan kelak. Sebarang pembelian dan tempahan tiket, boleh hubungi talian 03-7711 5000 atau layari laman web, www.axcess.com.my.