Friday, October 9, 2009

Nasha diarah bayar bapa kandung RM10,000


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan pelakon dan model, Nasha Aziz (atas), membayar ganti rugi am berjumlah RM10,000 kepada bapa kandungnya, Abdul Aziz Ali, 61, berhubung saman fitnah yang difailkan empat tahun lalu. Hakim Datuk Abdul Wahab Patail turut memerintahkan Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, 38, membayar kadar faedah lapan peratus bermula 31 Mac 2005 sehingga penyelesaian kes itu.

Bagaimanapun, Abdul Wahab menolak tuntutan lain termasuk ganti rugi tambahan yang dimohon Abdul Aziz kerana saman itu membabitkan isu kekeluargaan.Abdul Wahab dalam penghakimannya, berkata keputusan itu dibuat selepas Nasha dan peguamnya tidak hadir pada perbicaraan kes berkenaan, Rabu lalu. Bagaimanapun, Nasha yang popular menerusi filem Laila Isabella, hadir di mahkamah, semalam tanpa diwakili peguam, manakala bapanya ditemani keluarga dan diwakili peguam, M Visvanathan.

Abdul Aziz, seorang guru silat, mengemukakan saman terhadap Nasha berhubung artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 24 Oktober, 2004, yang mendakwa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya. Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Aziz berkata, beliau adalah bapa kandung Nasha dan mendakwa perkataan fitnah di dalam artikel itu menyebabkan perasaannya terseksa, memalukan dan mencemarkan maruahnya. Beliau memohon ganti rugi, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dengan mendakwa artikel itu boleh difahamkan sebagai bermaksud yang beliau sudah meninggal dunia.


Nasha dalam pernyataan pembelaannya menjelaskan perkataan bapa dalam temu bual dengan akhbar itu merujuk kepada bapa saudaranya, Abdul Aziz Hathim, yang membesarkannya. Pelakon itu tidak menafikan bahawa Abdul Aziz ialah bapa kandungnya, tetapi beliau menganggap bapa saudaranya sebagai bapa dalam hidupnya. Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, Abdul Aziz dapat membuktikan beliau difitnah Nasha menerusi artikel berkenaan yang menyatakan dirinya hanya mempunyai seorang ayah. Mahkamah menerima pernyataan tuntutan plaintif, iaitu disebabkan perkataan ayah itu, Abdul Aziz dikatakan berbohong berhubung Nasha adalah anak kandungnya sehingga menyebabkan beliau dipandang rendah, katanya. Nasha ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau menerima keputusan itu dan menjelaskan bahawa perkataan ayah dalam artikel berkenaan merujuk bapa saudaranya (Abdul Aziz Hathim) yang memeliharanya.



0 comments:

Post a Comment