Showing posts with label Berita Dalam Negeri. Show all posts
Showing posts with label Berita Dalam Negeri. Show all posts

Friday, September 2, 2011

Jurukamera BernamaTV terbunuh ditembak di Somalia



 
                                     Noramfaizul Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 3 Sept. - Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, petang semalam waktu tempatan.

Manakala wartawan TV3 Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam ini.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat,” katanya.

Sementara itu, wartawan BernamaTV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat utu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi paru-parunya, dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 6.10 petang waktu tempatan.
Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.
Norazrina berkata, sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham telah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya,” kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini.
Dalam pada itu, Tan berkata, mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan esok.

Beliau berkata, ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi esok.

Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dalam misi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. - Bernama

Tuesday, August 16, 2011

Anwar akhirnya beri keterangan bela diri Isnin depan

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya akan memberi keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin depan, setelah dua kali berjaya menangguhkan perbicaraan peringkat pembelaan sejak 8 Ogos lalu.
Pihak pembelaan dan pasukan pendakwaan mengesahkan bahawa Anwar akan memberi keterangan pada 22 Ogos ini, setelah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu gagal berbuat demikian pada hari ini memandangkan enam saksi masih belum dapat ditemu bual oleh mereka.
Hakim Datuk Mohamd Zabidin Mohd. Diah membenarkan tarikh tersebut ditetapkan untuk Anwar membela diri tanpa mengambil kira sama ada keenam-enam saksi itu telah berjaya ditemu bual atau sebaliknya.
Enam saksi yang masih belum ditemu bual ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; ibu kepada bekas tunang pengadu, Sharehah Md. Salim; jururawat di Hospital Pusrawi, Yazihan Jusoh; dan bekas pengawal peribadi tertuduh, Mohd. Rasid Mohd. Rosdi.
Turut tersenarai ialah dua bekas pembantu rumah pemilik unit kondominium yang didakwa sebagai saksi tempat kejadian, Fitria Dipan dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Suliati. Kedua-duanya dipercayai telah pulang ke negara asal mereka, Indonesia.
Sharehah bagaimanapun ditemu bual pada hari ini selepas prosiding mahkamah berakhir. Musa pula berada di luar negara dan dijangka pulang dalam minggu ini.
Anwar sepatutnya mula memberi keterangan bela diri pada 8 Ogos lalu tetapi ditunda ke hari ini setelah mahkamah membenarkan permohonannya untuk menemu bual saksi-saksi terlebih dahulu.
Terdahulu, peguam Sankara Nair yang mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberitahu mahkamah, pihaknya telah menemu bual 19 saksi yang berpotensi, manakala enam lagi masih belum dapat ditemu bual.
Nair juga memberitahu bahawa pihaknya telah membayangkan senarai saksi-saksi yang akan dipanggil kepada pihak pendakwaan.
Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan pula menyatakan, pihaknya akan cuba menyediakan keenam-enam saksi terbabit dalam minggu ini dan mengesahkan kedua-dua pihak bersetuju peringkat pembelaan akan dimulakan pada Isnin depan.
Sebelum prosiding hari ini bermula juga, terdapat kain pemidang 'Selamatkan Malaysia daripada peliwat 2.0' digantung di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini selama beberapa minit sebelum diturunkan.
Kain pemidang itu dipercayai dipasang oleh sekumpulan ahli Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) yang memakai kemeja-T warna kuning dan turut mengadakan demonstrasi secara aman sambil melaungkan reformasi dan keadilan kepada Saiful.
Sehingga Jumaat lalu, sebanyak 19 saksi daripada sejumlah 25 saksi yang disenaraikan, telah hadir untuk ditemu bual oleh barisan pembelaan yang diketuai oleh peguam Karpal Singh.
Antara mereka ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Polis Melaka, Mohd. Rodwan Mohd. Yusof; doktor di Hospital Pusrawi, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid dan pemilik kondominium terbabit, Hasanuddin Abd. Hamid.
Ketua Pembangkang itu diperintahkan membela diri setelah Hakim Mohamad Zabidin pada 16 Mei lepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan tersebut.
Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.-Utusan

Sunday, August 14, 2011

Kes liwat: Anwar beri keterangan bela diri Isnin depan

15/08/2011 11:50am

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pihak pembelaan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa Ketua Pembangkang itu akan memberi keterangan bela diri pada Isnin depan.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berikutan enam lagi saksi masih belum ditemu bual oleh pasukan pembelaan. – Utusan

Wednesday, April 6, 2011

Pegawai kastam maut di pejabat SPRM

KUALA LUMPUR: Pegawai kastam yang ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan semalam, datang ke pejabat itu di Jalan Cochrane secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang dibongkar baru-baru ini.

Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang memegang jawatan Penolong Pengarah cawangan import eksport dan kawalan sempadan KDRM Selangor, datang ke pejabat SPRM bersendirian menunggang motosikal.

SPRM juga mengesahkan Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan 1 April lalu pada jam 1 tengah hari di pejabat kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dan dibawa ke SPRM Wilayah Persekutuan untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan 2 April pada jam 12.30 tengah hari.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam sidang medianya, berkata Ahmad Sarbani dikatakan datang pada jam 8.26 pagi semalam, untuk berjumpa pegawai penyiasat SPRM yang menjalankan siasatan untuk berbincang sesuatu berhubung perkara itu.

Oleh kerana pegawai penyiasat terbabit sedang bermesyuarat, beliau menunggu di lobi bangunan sehingga jam 9.30 pagi sebelum datang seorang pegawai lain untuk mengiringi Allahyarham ke sebuah bilik ‘pantry’ di tingkat tiga.

Katanya, kira-kira 45 minit selepas itu, pegawai yang mengiringinya meninggalkan Ahmad Sarbani sebentar untuk mendapatkan pegawai penyiasat yang ingin ditemui Allahyarham.

“Apabila pegawai pengiring terbabit masuk semula ke bilik rehat, beliau dapati pegawai kastam itu sudah tiada dalam bilik. Selepas mencari di sekitar kawasan pejabat, seorang pegawai kami terlihat satu tubuh manusia atas lantai di tingkat satu,” katanya.
Beliau berkata, SPRM kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum menghubungi keluarga dan majikan mangsa.

Siasatan terhadap Allahyarham dijalankan selepas 62 pegawai kastam ditahan dan disoal siasat menerusi Operasi 3B kerana dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain, baru-baru ini. Penahanan membabitkan 53 pegawai lelaki serta sembilan perempuan berusia antara 24 dan 56 tahun dan daripada jumlah itu, seramai 17 pegawai termasuk seorang berjawatan pengarah ditahan reman.

Selepas operasi itu, sejumlah RM602 juta wang yang terbabit dalam pengubahan haram dibekukan, RM382 juta harta disita, manakala RM31.2 juta lagi dilucutkan hak. Siasatan menemui simpanan dalam akaun bank sehingga hampir setengah juta, RM850,000 dalam akaun amanah saham dan kereta mewah.

Sementara itu, menurut sumber, ada beberapa saksi melihat Ahmad Sarbani berlari ke arah tingkap di tingkat tiga sebelum jatuh ke tingkat satu yang dikatakan digunakan sebagai gelanggang badminton. Mangsa cedera parah pada muka dan kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Sumber turut berkata, Allahyarham datang ke pejabat SPRM untuk menukar kenyataannya kepada SPRM sebelum ini serta mendapatkan tandatangan pengesahan pada borang yang menyatakan beliau dibebaskan dengan jaminan

sumber: BH

Sunday, April 3, 2011

Bank Rakyat tambah modal RM1b

KUALA LUMPUR 2 April - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) dibenarkan menaikkan modal berbayarnya sebanyak RM1 bilion lagi, sekali gus memberikan khabar gembira kepada lebih 800,000 ahlinya yang lama menunggu untuk menambah pelaburan mereka.
Bank koperasi Islam itu, pada bulan lepas memperoleh kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan modal berbayar kepada RM3 bilion, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, dengan kebenaran itu, Bank Rakyat akan membuka peluang pelaburan kepada orang ramai terutamanya ahli untuk membeli saham pegangan dalam bank berkenaan mulai bulan depan.
''Peluang pelaburan ini bukan diberikan kepada semua orang tetapi sebaliknya diutamakan kepada koperasi-koperasi dan ahli-ahli setia Bank Rakyat,'' katanya selepas Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Bank Rakyat, bank koperasi terbesar di Malaysia, akan menaikkan modal berbayarnya dan pengumuman akan dibuat pada mesyuarat itu hari ini.

Peluang untuk menambah pelaburan dinanti-nantikan oleh ahlinya berikutan kejayaan bank koperasi itu membayar dividen secara konsisten sebanyak 15 peratus sejak 1999.

Mengulas pertanyaan pemberita, Ismail Sabri juga berkata, struktur jumlah pelaburan yang boleh ditambah oleh ahli bank tersebut sedang ditentukan.

Katanya, ahli-ahli baharu turut berpeluang membuat pelaburan itu tetapi terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan ia akan dibincangkan kemudian. Ditanya tentang senarai menunggu mereka yang ingin membeli saham bank itu, Ismail Sabri berkata, setakat ini, nilai senarai menunggu bagi pembelian saham Bank Rakyat melebihi RM1 bilion.
Beliau berkata, sejumlah 40 peratus daripadanya merupakan bukan ahli dan majoritinya terdiri daripada ahli lama.

''Kami tidak akan dapat memenuhi sepenuhnya permohonan mereka, tetapi sebaliknya akan memberikan sedikit bahagian untuk mereka,'' kata Ismail Sabri lagi.
Sementara itu, Syed Jalaludin dalam ucapannya berkata, Bank Rakyat dijangka mencatatkan keuntungan sebelum cukai melebihi RM2 bilion pada tahun ini berbanding RM1.72 bilion


sumber: utusan


Wednesday, October 14, 2009

Warga emas gagal curi peti besi diberkas

MUAR 14 Okt. - Seorang lelaki lanjut usia bukan sahaja gagal melarikan sebuah peti besi malah diberkas pemiliknya ketika dia memecah masuk rumah dua tingkat di Taman Tanjung Baru, Jalan Joned, di sini Sabtu lalu. Kejadian berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika suspek yang berusia 59 tahun memasuki rumah tersebut melalui bumbung.Bagaimanapun semasa hendak melarikan sebuah peti besi melalui tingkap yang dipecahkan, suspek diberkas oleh pemilik rumah itu bersama anak lelakinya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli berkata, pemiliknya menyedari rumahnya dipecah masuk melalui sistem penggera yang dipasang di kediamannya.Mangsa yang ketika itu berada di kedainya di Jalan Abdullah di sini, memberitahu, sistem tersebut terus menyalurkan maklumat ke telefon bimbitnya.

"Mangsa kemudian bersama anak lelakinya bergegas ke rumah lalu menangkap suspek dan menyerahkan kepada polis," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.Jelas Mohammad Nasir, siasatan yang dilakukan mendapati suspek telah masuk ke dalam rumah dua tingkat itu selepas memecahkan bumbung.

"'Suspek kemudiannya memecahkan tingkap dan mencampakkan keluar peti besi itu dengan harapan dapat melarikannya."Perkara yang dia tidak tahu adalah walaupun peti besi itu berat tetapi tiada wang atau barang berharga di dalamnya," katanya. Menurutnya, siasatan lanjut yang dilakukan mendapati suspek berasal dari Kulim, Kedah, dan mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes pergaduhan.

Dalam kes berasingan, Mohammad Nasir memberitahu, polis memberkas seorang peragut di Jalan Hashim di sini, kelmarin, tidak sampai 12 jam selepas suspek melakukan jenayah. "Lakaran suspek berusia 30-an ini diperoleh daripada seorang mangsa ragut. Dalam kejadian itu, mangsa diragut di Jalan Abdullah pada pukul 7.45 pagi," katanya.Katanya, polis turut menemui beberapa barang disyaki dicuri iaitu tiga buah telefon bimbit, dua kad sim dan wang tunai RM153.Tambahnya, selain itu, sebatang pemutar skru, satu peket lut sinar disyaki dadah jenis heroin dan tiga peket lutsinar disyaki syabu. "Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes-kes ragut yang lain di sekitar daerah Muar," ujar beliau.







Monday, October 12, 2009

Lokomotif tergelincir



KUALA LUMPUR 11 Okt. - Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di ibu negara tergendala hampir tiga jam akibat sebuah lokomotif tergelincir dari landasan di Kilometer 383.5, Simpang Batu Jalan Kolam Air Panas, Sentul, di sini hari ini.Insiden yang berlaku pukul 9.20 pagi itu menyebabkan lima perjalanan kereta api tergendala kira-kira 2 jam 45 minit sebelum kembali beroperasi secara berperingkat-peringkat.

Ketika kejadian, lokomotif Pulau Tioman 25112 itu yang digunakan sejak lewat tahun 90-an dalam perjalanan dari ibu negara menghala ke Sentul dipandu oleh seorang pekerja KTMB.Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail berkata, lima perjalanan kereta api yang tergendala adalah tiga tren kereta api ekspres dan dua tren komuter menghubungkan Seremban dan Rawang serta Pelabuhan Klang-Sentul.

Tiga laluan tren ekspres yang terlibat, kata beliau adalah Ekspres Rakyat Butterworth-Singapura, Ekspres Sinaran Butterworth-Kuala Lumpur dan tren Shuttle Kuala Lumpur-Ipoh."Kelewatan itu disebabkan kita terpaksa mengubah laluan tren lain supaya tidak melalui landasan tersebut "Perjalanan lain masih diteruskan walaupun menghadapi sedikit kelewatan dan pihak kami ingin memohon maaf kepada para penumpang yang terkandas hari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Tambahnya, ketika kejadian, lokomotif tersebut tidak membawa sebarang muatan.Mohd. Fazil berkata, pihaknya menggunakan segala pengalaman dan kemahiran yang ada untuk menaikkan semula lokomotif itu ke atas landasan tanpa bantuan pihak luar."Sehingga pukul 3 petang ini, enam roda belakang lokomotif itu telah dinaikkan semula dan landasan mulai digunakan sepenuhnya pukul 4 petang ini," ujarnya.



Sunday, October 11, 2009

Suspek ugut Khir dicari


SHAH ALAM 10 Okt. - Polis masih berusaha mengesan suspek yang mengirim surat ugutan untuk membunuh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pada bulan lalu.Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu, walaupun surat ugutan itu sudah menjalani ujian saintifik oleh pasukan forensik, pihaknya masih mengesan bukti yang sahih sebelum membuat sebarang tangkapan.

"Tiada kesan DNA (asid deoksiribonukleik) ditemui. Walaupun ada kesan cap jari pada surat tersebut, ia tidak cukup lengkap untuk mengesan pemiliknya."Bagaimanapun kita tetap melakukan siasatan dengan melihat aspek lain bagi mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Komuniti U9 di kawasan perumahan Cahaya SPK di sini hari ini.Pada 17 September lalu, Mohamad Khir membuat laporan polis di IPD Shah Alam setelah menerima surat berbentuk ugutan.


Antara lain, isi kandungan surat itu mengugut mahu menembak beliau atau disumpit dengan sumpitan beracun oleh pengirim yang tidak dikenali.Surat bertulisan tangan dalam bahasa Melayu itu diposkan dari Bukit Raja, Klang bertarikh dua hari sebelum itu. Ia turut menuduh Mohamad Khir mahu menjatuhkan kerajaan pakatan pembangkang Selangor dan ugutan itu akan dilaksanakan jika beliau tidak memberhentikan perbuatan tersebut.







Tuesday, October 6, 2009

Harga minyak diunjur meningkat tahun depan


KUALA LUMPUR 6 Okt. - Harga minyak mentah bakal mengalami peningkatan pada tahun depan seiring dengan tinjauan ekonomi yang lebih baik, sekali gus merancakkan lagi pemberian projek-projek baru minyak dan gas, kata OSK Research. Syarikat penyelidikan itu mengunjurkan harga minyak mentah akan berada pada paras AS$60 hingga AS$70 setong tahun ini dan AS$70 hingga AS$80 setong untuk tahun depan. "Malah, kami percaya projek-projek prospektif dijangka diberikan pada bila-bila masa sekarang memandangkan syarikat utama minyak telah lama menangguh perbelanjaan mereka sejak satu tahun lepas ekoran situasi tidak menentu dalam ekonomi global," kata OSK Research.

Harga minyak mentah telah pulih sejak suku pertama 2009, mencapai purata AS$68 setong pada suku ketiga, katanya dalam nota penyelidikannya hari ini. OSK Research kekal meyakini sektor minyak dan gas dengan jangkaan harga minyak mentah lambat laun akan meningkat kerana ia merupakan sumber yang sukar didapati. Katanya, permintaan untuk minyak dan gas juga bertambah baik dengan aktiviti ekonomi dalam pasaran global terus mendapat momentum dan ekonomi global pula secara perlahan-lahan melepaskan diri dari kemelesetan yang sekali gus merangsangkan permintaan untuk tenaga.

"Industri minyak dan gas agak lengang sejak setahun lalu dan kami rasa pemberian kontrak baru akan masuk tidak lama lagi memandangkan tidak terdapatnya petunjuk terhadap mana-mana pengurangan perbelanjaan modal besar oleh syarikat minyak utama," kata OSK Research. "Sebaik kontrak mengalir masuk, pendapatan masa depan syarikat sokongan minyak dan gas tempatan akan dinaik taraf dan ini diikuti dengan penarafan semula secara menaik ke atas sektor berkenaan,'' katanya.