Friday, October 9, 2009

Wanita selamat jatuh dari tingkat 12


KUALA LUMPUR 8 Okt. – Akibat terlalu panik kerana rumahnya di tingkat 14 terbakar, seorang wanita mempertaruhkan nyawa apabila cuba turun dengan bergayut dari satu anjung ke anjung lain. Mangsa berjaya turun sehingga ke tingkat 12 tetapi tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh ke wakaf kayu di tingkat tiga Kondominium Mentari, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, Karmila Abdullah, 30-an bernasib baik apabila hanya patah kaki kanan. Seorang penduduk warga Korea Selatan, Jung Hwan Ho, 30, berkata, dia terkejut apabila tiba-tiba mendengar bunyi dentuman yang kuat di luar rumahnya. Dia menyangkakan ada penduduk yang bermain mercun tetapi mula mengesyaki sesuatu apabila mendengar jeritan.

“Mereka menjerit api! api! Saya bingkas keluar dan melihat seorang wanita terbaring di luar rumah. Mangsa bertanyakan mana begnya dan menyebut Allah berulang kali. “Saya ingat dia cuba membunuh diri tetapi tidak lama selepas itu, baru saya tahu dia terjatuh. Saya lihat kaki kanannya berpusing ke belakang dan berdarah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini. Beliau berkata, pasukan keselamatan kemudian tiba di rumahnya dan memberi bantuan kepada mangsa yang pengsan tidak lama selepas itu.

Hwan Ho yang berada di rumah itu bersama ibu teman wanitanya bersyukur kerana mangsa terjatuh di wakaf kayu rumah tersebut dan terselamat. “Saya tidak dapat bayangkan kalau tiada wakaf kayu itu walaupun terpaksa menanggung kos kerosakan. Ia pengalaman menakutkan apabila kejadian tersebut berlaku di depan mata,” katanya. Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Azhar Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 11.37 pagi.

Katanya, sebanyak empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak dan Jalan Hang Tuah bersama 25 anggota dikejarkan ke lokasi. Tambahnya, ketika kejadian, mangsa hanya tinggal seorang diri kerana ibu dan adik lelakinya tiada di rumah. “Bomba dapat mengawal kebakaran 12 minit kemudian. Siasatan mendapati 60 peratus daripada rumah itu terbakar,” katanya di sini hari ini.  -utusan



1 comments:

Anonymous said...

nice blog! follow me back! hikhik

Post a Comment