Tuesday, October 6, 2009

Gempa: 200,000 rumah rosak


PADANG 6 Okt. - Antara 170,000 hingga 200,000 buah rumah rosak akibat gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di Sumatera Barat pada Rabu lalu, kira-kira separuh daripadanya dianggap musnah sama sekali. Berdasarkan anggaran lima orang bagi setiap isi rumah, kehidupan sehingga sejuta penduduk terjejas secara langsung disebabkan kerosakan kepada rumah mereka, menurut seorang pegawai Palang Merah hari ini.

"Kami menganggarkan kira-kira 170,000-200,000 buah rumah rosak, 90,000 daripadanya rosak begitu teruk sehingga tidak boleh didiami lagi," kata ketua Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di Indonesia, Bob McKerrow. Mengenai angka kematian, beliau menjangka jumlah korban meningkat kepada lebih 3,000 orang. Laman web Agensi Pengurusan Bencana Indonesia hari ini menunjukkan angka kematian terbaru ialah 704 orang manakala 295 lagi masih hilang. Menurut laman web itu, sebanyak 101,653 rumah musnah, 48,967 rumah mengalami kerosakan sederhana dan 49,026 rumah lagi mengalami kerosakan ringan. McKerrow berkata, mengikut pengalamannya, banyak kerajaan memberikan anggaran angka kematian yang lebih rendah daripada bilangan sebenar kerana khuatir imej mereka akan terjejas.

"Sama ada Pakistan atau Gujarat (di India), kita melihat kerajaan keberatan untuk menyatakan angka korban. Mereka tidak suka mendedahkan kematian penduduk," katanya. Sementara itu di WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) menghantar pesawat dan kapal tentera lautnya ke Indonesia dalam satu operasi bernilai berjuta-juta dolar bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di sana.Jurucakap jabatan Negara AS, Ian Kelly semalam berkata, kira-kira 45 tan metrik bantuan berupa barang keperluan daripada stok simpanan Agensi AS untuk Pembangunan Antarabangsa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, dijangka tiba melalui pesawat komersial di Padang kira-kira pada pukul 0300 GMT (11 malam waktu Malaysia) hari ini. "Ini termasuk cadar plastik, kit kebersihan serta alat penjana kuasa dan semua ini akan diagihkan melalui Palang Merah," kata Kelly kepada pemberita.

Pusat Pemerintah Tentera AS di Pasifik (PACOM), telah menerbangkan dua buah pesawat pengangkutan tentera C-17 ke Padang, kawasan paling teruk terjejas dengan membawa bahan-bahan untuk keperluan hospital bagi merawat 400 pesakit setiap hari, katanya. Menurut laman web PACOM, pihaknya menghantar satu pasukan pembedahan seramai tujuh orang merangkumi pakar-pakar pembedahan umum, pembedahan ortopedik, anesthesiology dan perubatan kecemasan.Tambahnya, empat buah hospital di Padang telah musnah dengan dua buah daripadanya musnah teruk. Kelly berkata, USS Denver, sebuah kapal bantuan dan helikopter yang akan terbang ke kawasan luar bandar yang paling teruk terjejas dijangka tiba di Padang Khamis ini. - AFP




0 comments:

Post a Comment