Friday, April 8, 2011

100 juta alamat e-mel bakal dijual

Penggodam curi data 2,500 syarikat termasuk Hotel Hilton, Citigroup

WASHINGTON: Penggodam berjaya melakukan rompakan data siber terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat membabitkan berjuta-juta nama dan e-mel daripada firma pemasaran online, Epsilon, dan merancang untuk menjual maklumat itu kepada penjenayah siber.

Ed Heffernan, ketua eksekutif Alliance Data Systems Corp, syarikat induk Epsilon, memohon maaf atas kecurian itu kelmarin dan berkata ia sedang disiasat oleh pihak berkuasa persekutuan dan pakar forensik komputer luaran.

“Kami tidak akan biarkan perkara ini begitu saja dan sedang menangani tindakan jahat pencuri siber canggih dengan sedaya upaya,” kata Heffernan.

Epsilon yang menghantar lebih 40 bilion e-mel setahun, tidak mengenal pasti firma mana nama pelanggan dan alamat emel diambil namun berpuluh syarikat Amerika memaklumkan perkara itu sejak beberapa hari lalu.

“Secara asasnya, data itu membabitkan tokoh industri penting peruncitan dan perbankan online. Sesetengahnya membabitkan jenama terkenal dunia,” kata Ketua SpiderLabs Trustwave, Nicholas Percoco.
Ia termasuk hotel Hilton dan Marriott, gergasi telekom Verizon, rangkaian kedai ubat Walgreens, Home Shopping Network dan peruncit Best Buy, Kroger, New York & Co. serta Target.

Firma kewangan dan perbankan pula termasuk Citigroup, JPMorgan Chase, Capital One, US Bank, Barclays Bank of Delaware dan Ameriprise Financial.

Percoco berkata kecurian data Epsilon mungkin membabitkan 100 juta alamat e-mel dan ‘mungkin berakhir dengan pelanggaran terbesar data mentah peribadi, data pelanggan.’

Tidak hairanlah, bank utama Amerika selain hotel, peniaga dan syarikat lain mula memberi amaran kepada pelanggan supaya berhati-hati dengan e-mel palsu selepas Epsilon mengakui minggu lalu penggodam berjaya mendapat capaian terhadap sistem e-mel syarikat itu.

Pakar berkata, kecurian data di Epsilon mungkin terbesar dari segi jumlahnya berbanding dengan eksploitasi oleh Albert Gonzalez, seorang penggodam yang merengkok 20 tahun dalam penjara kerana mencuri puluhan juta nombor kad kredit dan debit.  - AFP

0 comments:

Post a Comment