Tuesday, October 13, 2009

Anuar Zain paling eksklusif


Tiket Eksklusif Syawal bersama penyanyi itu laris walaupun lebih mahal daripada Beyonce Knowles


ANDAI melihat nilai harga tiket yang dikenakan untuk menyaksikan persembahan Eksklusif Syawal bersama Anuar Zain yang berlangsung di Golden Chersonese Mediahall, Maju Junction, baru-baru ini, tentu ramai yang terkejut kerana harga yang dikenakan boleh dikatakan setaraf dengan harga tiket untuk menyaksikan konsert artis bertaraf antarabangsa.Bayangkan, untuk menyaksikan pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini beraksi, tetamu perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM800 (VIP), RM700 (Premier) dan RM600 (Eksekutif).


Malah, harga tiket ini jauh lebih tinggi dari nilai harga tiket konsert penyanyi Beyonce di mana untuk harga VIP, jumlahnya hanyalah sebanyak RM583. Dan apa yang membanggakan, tiket yang hanya terhad kepada 300 tetamu itu habis dijual. Siapa sangka di saat ekonomi yang tidak menentu ketika ini, masih ada peminat yang sanggup mengangkat martabat artis tempatan setaraf penyanyi luar negara. Bukan calang-calang peminat yang sanggup mengeluarkan belanja sebulan gaji hanya untuk menyaksikan artis kesayangannya menyanyi dan Anuar nyata cukup bertuah kerana mempunyai peminat yang sanggup berbuat apa saja kerananya. Bersesuaian dengan nama acara yang dijayakannya itu, tidak keterlaluan andai dikatakan Anuar antara penyanyi yang cukup eksklusif dan termahal apabila mengambil risiko mengenakan harga tiket sebanyak itu. Bagaimanapun perkara ini disangkal Anuar sambil menyatakan dia juga terkejut apabila mendapat tahu harga tiketnya mencecah hampir RM1000.


Apabila pihak penganjur memberitahu saya harga tiket yang dikenakan sebanyak RM800, saya sendiri terkejut kerana perancangan awalnya, harga yang diletakkan adalah RM400. Saya bimbang majlis ini tidak mendapat sambutan memandangkan harga yang dikenakannya cukup mahal. Iyalah, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, siapa yang sanggup mengeluarkan belanja sebanyak itu. “Tapi, apabila dimaklumkan yang semua tiket habis dijual, saya bersyukur sangat-sangat kerana ia masih mendapat sambutan,” ujar Anuar dalam nada teruja. Kata Anuar, dalam hal ini, dia tidak melihat dirinya sebagai artis paling eksklusif di Malaysia hanya kerana persembahannya yang mahal itu. Baginya sesiapapun artis itu dan jika dia mempunyai album, dia tetap eksklusif di mata peminatnya. Dan kata Anuar, dia beruntung kerana mempunyai peminat yang cukup setia kepadanya dan akan sentiasa menyaksikan persembahannya walau di mana jua dia berada.


Saya akui, sejak menghasilkan konsert solo di Istana Budaya ........ lalu, tiada tawaran lain yang saya terima. Tapi tak mengapa, saya faham, dalam keadaan sekarang ini, siapa yang berani nak keluarkan duit untuk menaja konsert saya. Mungkin mereka merasakan kurang berbaloi untuk menaja konsert saya menyebabkan sehingga kini tiada tawaran yang saya terima,” kata Anuar yang mempunyai keinginan untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Malaysia. Biarpun kelibat Anuar jarang kelihatan dan hanya muncul untuk acara tertentu namun itu tidak bermakna dia melupakan peminatnya yang berada di ceruk desa.


“Walaupun saya kerap membuat persembahan di bandar namun saya ada juga turun membuat persembahan di kampung. Sebelum ini saya terbabit dengan aktiviti Astro iaitu Gempak Desa dan pernah membuat persembahan di Kuantan, Pahang dan terbaru pada 17 Oktober ini, saya akan ke Kluang, Johor untuk bertemu peminat di sana. Saya akui seronok dapat bertemu dengan mereka dan memang menjadi impian saya sebelum ini untuk melawat kampung dan bermesra dengan peminat saya di sana,” ujar Anuar sambil mengukir senyuman.


- bERITA hARIAN




0 comments:

Post a Comment