Wednesday, October 14, 2009

Warga emas gagal curi peti besi diberkas

MUAR 14 Okt. - Seorang lelaki lanjut usia bukan sahaja gagal melarikan sebuah peti besi malah diberkas pemiliknya ketika dia memecah masuk rumah dua tingkat di Taman Tanjung Baru, Jalan Joned, di sini Sabtu lalu. Kejadian berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika suspek yang berusia 59 tahun memasuki rumah tersebut melalui bumbung.Bagaimanapun semasa hendak melarikan sebuah peti besi melalui tingkap yang dipecahkan, suspek diberkas oleh pemilik rumah itu bersama anak lelakinya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli berkata, pemiliknya menyedari rumahnya dipecah masuk melalui sistem penggera yang dipasang di kediamannya.Mangsa yang ketika itu berada di kedainya di Jalan Abdullah di sini, memberitahu, sistem tersebut terus menyalurkan maklumat ke telefon bimbitnya.

"Mangsa kemudian bersama anak lelakinya bergegas ke rumah lalu menangkap suspek dan menyerahkan kepada polis," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.Jelas Mohammad Nasir, siasatan yang dilakukan mendapati suspek telah masuk ke dalam rumah dua tingkat itu selepas memecahkan bumbung.

"'Suspek kemudiannya memecahkan tingkap dan mencampakkan keluar peti besi itu dengan harapan dapat melarikannya."Perkara yang dia tidak tahu adalah walaupun peti besi itu berat tetapi tiada wang atau barang berharga di dalamnya," katanya. Menurutnya, siasatan lanjut yang dilakukan mendapati suspek berasal dari Kulim, Kedah, dan mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes pergaduhan.

Dalam kes berasingan, Mohammad Nasir memberitahu, polis memberkas seorang peragut di Jalan Hashim di sini, kelmarin, tidak sampai 12 jam selepas suspek melakukan jenayah. "Lakaran suspek berusia 30-an ini diperoleh daripada seorang mangsa ragut. Dalam kejadian itu, mangsa diragut di Jalan Abdullah pada pukul 7.45 pagi," katanya.Katanya, polis turut menemui beberapa barang disyaki dicuri iaitu tiga buah telefon bimbit, dua kad sim dan wang tunai RM153.Tambahnya, selain itu, sebatang pemutar skru, satu peket lut sinar disyaki dadah jenis heroin dan tiga peket lutsinar disyaki syabu. "Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes-kes ragut yang lain di sekitar daerah Muar," ujar beliau.







0 comments:

Post a Comment