KUALA LUMPUR 11 Okt. - Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di ibu negara tergendala hampir tiga jam akibat sebuah lokomotif tergelincir dari landasan di Kilometer 383.5, Simpang Batu Jalan Kolam Air Panas, Sentul, di sini hari ini.Insiden yang berlaku pukul 9.20 pagi itu menyebabkan lima perjalanan kereta api tergendala kira-kira 2 jam 45 minit sebelum kembali beroperasi secara berperingkat-peringkat.
Ketika kejadian, lokomotif Pulau Tioman 25112 itu yang digunakan sejak lewat tahun 90-an dalam perjalanan dari ibu negara menghala ke Sentul dipandu oleh seorang pekerja KTMB.Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail berkata, lima perjalanan kereta api yang tergendala adalah tiga tren kereta api ekspres dan dua tren komuter menghubungkan Seremban dan Rawang serta Pelabuhan Klang-Sentul.
Tiga laluan tren ekspres yang terlibat, kata beliau adalah Ekspres Rakyat Butterworth-Singapura, Ekspres Sinaran Butterworth-Kuala Lumpur dan tren Shuttle Kuala Lumpur-Ipoh."Kelewatan itu disebabkan kita terpaksa mengubah laluan tren lain supaya tidak melalui landasan tersebut "Perjalanan lain masih diteruskan walaupun menghadapi sedikit kelewatan dan pihak kami ingin memohon maaf kepada para penumpang yang terkandas hari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Tambahnya, ketika kejadian, lokomotif tersebut tidak membawa sebarang muatan.Mohd. Fazil berkata, pihaknya menggunakan segala pengalaman dan kemahiran yang ada untuk menaikkan semula lokomotif itu ke atas landasan tanpa bantuan pihak luar."Sehingga pukul 3 petang ini, enam roda belakang lokomotif itu telah dinaikkan semula dan landasan mulai digunakan sepenuhnya pukul 4 petang ini," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment