Sunday, October 11, 2009

Harga saham stabil minggu ini

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Harga saham di Bursa Malaysia dijangka stabil pada minggu ini tetapi sekali-sekala pelabur dijangka mengambil keuntungan selepas melakukan catatan yang kukuh sejak seminggu lepas, kata seorang penganalisis."Para pelabur tempatan kemungkinan memasuki semula pasaran sebaik muncul pemangkin baharu di pasaran," katanya.

Penganalisis itu menyatakan bahawa saham syarikat, yang mencatatkan perkembangan korporat tertentu, boleh menarik para pelabur.Bagi minggu ini, Proton kemungkinan menjadi tumpuan pasaran apabila syarikat pengeluar kereta negara itu sedang melakukan perundingan dengan Hero Group dari India untuk membina kereta penumpang kecil bagi pasaran India.Proton Holdings Bhd. menjangka memuktamadkan rundingan dengan pengeluar kereta India itu mengenai usaha melakukan kerjasama pengeluaran produk dan pasaran, yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun, kata Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sejak Jumaat.


Penganalisis itu berkata, pelabur yang sesetengahnya telah mulai menunggu di luar pasaran sejak minggu lalu, sambil memerhatikan hala tuju baharu, sebelum dilakukan pengumuman Bajet 2010 pada 23 Oktober dan musim pelaporan korporat pada akhir bulan ini. Mengenai tinjauan teknikal, penganalisis itu menyatakan bahawa harga akan kekal pada trend menaik pada jangka masa terdekat."Tinjauan teknikal jangka sederhana masih kukuh menghala trend harga menaik pada masa ini," katanya.Pada tahap semasa, katanya, halangan segera dijangka pada paras 1,242 mata berikutan indeks kini melepasi paras 1,231.50 mata minggu ini.


Penganalisis itu berkata, sentimen keseluruhan pada minggu ini dijangka kekal pada trend menaik jika Wall Street menunjukkan prestasi trend menaik kira-kira sebulan secara berterusan.Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran menyaksikan Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) mencecah paras tutup tertinggi tahun ini.Sentimen kukuh membolehkan FBM KLCI ditutup pada paras tertinggi pada Jumaat kepada 1,233.82, naik 27.57 mata berbanding paras Jumaat lepas, selepas mencecah paras harian tertinggi 1,236.89, pada sesi yang sama.Penganalisis itu berkata, dana asing dipercayai membantu menaikkan bursa tempatan ke paras tertinggi baharu apabila dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah menyebabkan dana seberang laut berpindah ke Asia.


Berasaskan harian, pasaran lebih meluas kebanyakannya diniaga bercampur-campur, dengan dilakukan penyelarasan mulai Isnin pada penutup FBM KLCI yang sepatutnya ditutup pada hari itu meningkat 10.20 mata kepada 1,216.45.Penyelarasan itu adalah berikutan penutupan harga yang meningkat 24 peratus bagi harga saham Kuala Lumpur Kepong (KLK) kepada RM17.00 dan bukan RM13.70, berikutan pemadanan tempahan yang ditutup pada fasa pra penutup hari itu.Pada hari yang sama, Bursa Malaysia mengumumkan bahawa Bursa Trade Securities, platform dagangan pasaran sekuriti, akan dilakukan penambahbaikan pada fasa perdagangannya bagi sesi pagi mulai 26 Oktober.Dua ciri-ciri, 'pra penutup' dan 'dagangan juga akhirnya' akan dikeluarkan dari sesi pagi mulai 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, yang memberikan tambahan 15 minit masa dagangan yang berterusan.


Bagaimanapun, kedua-dua ciri itu akan dikekalkan bagi sesi dagangan petang.Fasa 'pra penutup' diharap mengurangkan manipulasi harga dan sangat sesuai bagi sesi akhir hari dagangan.Ciri-ciri 'dagangan juga akhirnya' yang merupakan dagangan 10 minit terakhir pada hari dagangan, akan memberikan pedagang peluang untuk berdagang pada harga penutup sesuatu saham.Berdasarkan mingguan, Indeks FBM Emas menambah 184.18 mata kepada 8,279.43, Indeks FBM Top 100 meningkat 176.02 mata kepada 8,070.70, FBM70 naik 159.38 mata kepada 8,095.93 dan Indeks FBM ACE di akhir minggu ini meningkat 29.86 mata kepada 4,125.19.Indeks Kewangan meningkat 398.54 kepada 10,332.19, Indeks Perladangan naik 76.16 mata kepada 5,971.19 dan Indeks Perusahaan menambah 27.23 mata kepada 2,654.83.


Perolehan minggu lalu meningkat kepada 3.618 bilion saham bernilai RM5.918 bilion berbanding 2.883 bilion saham bernilai RM4.072 bilion pada minggu sebelumnya.Jumlah dagangan pasaran utama meningkat kepada 3.199 bilion saham bernilai RM5.816 bilion berbanding 2.513 bilion saham bernilai RM3.981 bilion sebelum ini.Jumlah dagangan pasaran ACE meningkat kepada 265.900 juta saham bernilai RM60.178 juta daripada 230.070 juta saham bernilai RM47.963 juta pada minggu sebelumnya.Waran panggilan meningkat kepada 132.531 juta unit bernilai RM31.701 juta daripada 99.329 juta unit bernilai RM23.583 juta sebelum ini. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment