Tuesday, October 6, 2009

Harga minyak diunjur meningkat tahun depan


KUALA LUMPUR 6 Okt. - Harga minyak mentah bakal mengalami peningkatan pada tahun depan seiring dengan tinjauan ekonomi yang lebih baik, sekali gus merancakkan lagi pemberian projek-projek baru minyak dan gas, kata OSK Research. Syarikat penyelidikan itu mengunjurkan harga minyak mentah akan berada pada paras AS$60 hingga AS$70 setong tahun ini dan AS$70 hingga AS$80 setong untuk tahun depan. "Malah, kami percaya projek-projek prospektif dijangka diberikan pada bila-bila masa sekarang memandangkan syarikat utama minyak telah lama menangguh perbelanjaan mereka sejak satu tahun lepas ekoran situasi tidak menentu dalam ekonomi global," kata OSK Research.

Harga minyak mentah telah pulih sejak suku pertama 2009, mencapai purata AS$68 setong pada suku ketiga, katanya dalam nota penyelidikannya hari ini. OSK Research kekal meyakini sektor minyak dan gas dengan jangkaan harga minyak mentah lambat laun akan meningkat kerana ia merupakan sumber yang sukar didapati. Katanya, permintaan untuk minyak dan gas juga bertambah baik dengan aktiviti ekonomi dalam pasaran global terus mendapat momentum dan ekonomi global pula secara perlahan-lahan melepaskan diri dari kemelesetan yang sekali gus merangsangkan permintaan untuk tenaga.

"Industri minyak dan gas agak lengang sejak setahun lalu dan kami rasa pemberian kontrak baru akan masuk tidak lama lagi memandangkan tidak terdapatnya petunjuk terhadap mana-mana pengurangan perbelanjaan modal besar oleh syarikat minyak utama," kata OSK Research. "Sebaik kontrak mengalir masuk, pendapatan masa depan syarikat sokongan minyak dan gas tempatan akan dinaik taraf dan ini diikuti dengan penarafan semula secara menaik ke atas sektor berkenaan,'' katanya.



0 comments:

Post a Comment